Friday, September 10, 2010

Ahli Perniagaan Bergelar Datuk Sorok Sosilawati

Kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain, dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.

Difahamkan, ahli perniagaan terbabit yang dikatakan mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan, dipercayai berperanan sebagai broker dalam urus niaga tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang itu.


Sumber memberitahu Berita Harian, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.

Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.

“Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya.
Difahamkan, dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun beliau menafikan semua dakwaan itu.

“Maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan,” katanya sambil menyatakan kemungkinan Sosilawati dan tiga individu itu menjadi mangsa sindiket terbabit.
Difahamkan, dia sudah dipanggil polis bagi membantu siasatan pada Selasa lalu, termasuk mengenal pasti bentuk pembabitannya dalam urus niaga berkenaan dan hubungannya dengan keempat-empat mangsa, manakala pergerakannya sedang dipantau.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu ketika menghadiri urus niaga tanah di Banting. Turut hilang, peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB Bank, Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.

Sumber : Berita Harian

1 comments:

emieysandra said...

Semoga Datuk Sosilawati dan yang lain segera ditemui..

Related Posts with Thumbnails
Web Analytics